Pernah tak anda atau anak-anak anda mengalami kulit berkedut pada bahagian tangan dan juga kaki selepas berendam di dalam air dalam jangka masa yang agak panjang? Keadaan ini sering terjadi terutamanya sekiranya seseorang itu baru sahaja selesai berenang.
Pasti ada yang terfikir dan tertanya-tanya, apa sebenarnya punca di sebalik kulit berkedut itu? Adakah ia bahaya kepada kesihatan?
Ini sebab kenapa kulit berkedut selepas mandi kolam
Meskipun anda mungkin tak dapat lihat dengan mata kasar, kulit anda sebenarnya diliputi dengan minyak khas. Ia berfungsi untuk melindungi kulit anda dan bertindak sebagai ‘baju hujan’ yang menjadikan kulit anda sedikit kalis air.
Jadi, apa yang berlaku ketika jari tangan dan jari kaki mula mengecut?
Molekul air secara semula jadi mengalir melalui membran semipermeabel daripada kawasan berkepekatan rendah ke kawasan berkepekatan tinggi menerusi proses yang dikenali sebagai osmosis.
Apabila seseorang itu mandi kolam untuk jangka masa yang lama, osmosis berlaku dan air mengalir ke sel kulit atas, yang kemudian mengambil air.
Kesan pengecutan dan pengembangan berlaku secara serentak pada sel-sel kulit ini dan keadaan ini menyebabkan berlakunya kedutan. Kesan kedutan ini kebiasaannya muncul pada lapisan kulit yang paling tebal.
Perkara ini jarang sekali berlaku dalam rutin harian kerana selalunya tempoh seseorang mandi tidak cukup lama untuk mencuci semua minyak daripada kulit badan.
Sebaliknya, jika anda menghabiskan masa bermain dalam kolam atau mandi yang lama, air akan mencuci minyak pada bahagian kulit buat sementara waktu. Setelah minyak habis, air akan mula menyerap masuk ke lapisan luar kulit.
Kesimpulan
Jadi, apa yang perlu dilakukan sekiranya perkara ini terjadi pada anda atau anak-anak?
Jangan risau, anda tidak perlu lakukan apa-apa kerana ia akan hilang secara sendirinya.
Semoga perkongsian ini bermanfaat buat semua!