Berenang adalah kemahiran dalam hidup yang sebaiknya dimiliki setiap orang. Selain sebagai faktor keselamatan, ia juga boleh menjadi aktiviti yang menyeronokkan. Dalam artikel ini, kami akan kongsikan 6 tips untuk ajar bayi anda berenang.
Ini 6 tips untuk ajar bayi anda berenang
1. Mulakan dalam tab mandi
Salah satu tips untuk ajar bayi anda berenang adalah bermula dengan tab mandi. Ini adalah cara bagi memastikan bayi anda terbiasa dengan air. Pastikan ada berada di sisinya bagi mewujudkan persekitaran yang selamat dan menyeronokkan.
Anda juga boleh mengisi cawan dengan air dan tuangkannya perlahan-lahan ke atas rambut bayi anda dan biarkan ia mengalir ke wajahnya. Ini juga bagi membuatkan si manja terbiasa dengan air.
2. Periksa suhu air
Bayi tidak sama dengan orang dewasa di mana mereka tidak dapat mengawal suhu badan. Oleh itu, anda perlu pastikan suhu kolam berada dalam suhu yang selesa supaya suhu badan si manja tidak terjejas.
Sekiranya air di kolam agak sejuk, anda masih boleh membawa bayi masuk tetapi anda mungkin perlu keluar setiap 10 minit bagi menjaga suhu badannya.
Sentiasa lihat pada bibir, jari tangan dan kaki si manja. Sekiranya ia bertukar ke warna ungu, terus keluarkan si manja dari kolam.
3. Bina hubungan dengan bayi
Anda boleh bina hubungan dengan bayi dengan sentiasa berada bersama mereka di dalam kolam. Ia bukan sahaja bertujuan untuk keselamatan tetapi memegang bayi secara kulit ke kulit semasa berada di dalam air sekali gus akan menguatkan lagi ikatan dengan si manja.
4. Pilih posisi
Apabila masuk ke dalam air, pastikan anda pilih posisi yang selesa untuk anda dan juga bayi. Sebagai contoh, anda boleh memegang bayi anda pada bahagian belakang, menyokong bahagian belakang kepalanya dan punggungnya.
Selain itu, anda juga boleh memegang bayi anda di bawah ketiaknya, sama ada secara bersemuka atau dengan bayi memandang ke hadapan.
Tak kira apa jua posisi yang anda pilih, pastikan anda juga bergerak secara perlahan-lahan dalam kolam supaya bayi anda dapat rasa sensasi air pada tubuhnya.
5. Jadikan ia satu aktiviti yang seronok
Semasa berada di dalam kolam, anda boleh nyanyikan lagu kegemaran si manja atau main permainan yang boleh hiburkannya. Sekiranya bayi anda enggan berada di dalam kolam, bantu tenangkannya dengan bercakap dengannya.
Pada masa yang sama, jangan lupa senyum. Melihat wajah tersenyum anda akan meyakinkan si manja bahawa ini adalah persekitaran yang selamat dan menyeronokkan.
6. Ikut isyarat bayi
Setiap bayi adalah berbeza-beza. Ada yang terus selesa dengan air dan ada juga yang teragak-agak apabila diletak di dalam kolam. Apa yang penting, ikut isyarat dan reaksi bayi anda. Jangan sesekali paksa mereka selagi mereka belum bersedia.
Sekiranya bayi anda mula meragam, bawa si manja keluar dan biarkannya berehat seketika. Ketika itu, mungkin anda boleh tawarkan sesuatu kepada si manja untuk dimakan.
Semoga perkongsian ini bermanfaat buat semua!