Luangkan masa bersama keluarga sememangnya penting. Ia bukan sahaja mengeratkan hubungan, malahan meningkatkan kesihatan mental dan emosi. Terutamanya dalam tumbesaran kanak-kanak, hubungan kekeluargaan merupakan pendedahan awal mereka pada interaksi sosial.
Dalam artikel ini, kami akan kongsikan 6 sebab kenapa anda perlu luangkan masa dengan keluarga.
Ini 6 sebab kenapa anda perlu luang masa dengan keluarga
1. Menguatkan hubungan antara ahli keluarga
Sama seperti hubungan yang lain, meluangkan masa bersama keluarga pasti akan memperkukuhkan hubungan antara satu sama lain. Namun begitu, aktiviti yang dilakukan ketika ini hendaklah berfaedah demi mewujudkan hubungan kekeluargaan yang berkualiti tinggi.
Sebab itu, fokus utama yang patut diberikan adalah pada kualiti masa yang diluangkan bersama keluarga.
Ini kerana aktiviti yang berkualiti akan menerapkan nilai murni dalam diri anak-anak. Ibu bapa dan keluarga merupakan pendedahan awal mereka terhadap segala-galanya.
Perlakuan yang ditunjukkan oleh ibu bapa mereka pasti akan menjadi garis panduan. Jadi tidak mustahil anak-anak akan mencontohi nilai murni yang ditunjukkan melalui aktiviti keluarga yang berkualiti.
Antara aktiviti berkualiti yang boleh merapatkan hubungan kekeluargaan adalah board games, berkebun, dan mandi kolam.
2. Belajar kemahiran keibubapaan dengan lebih efektif
Meluangkan masa dengan keluarga bukan sahaja bermanfaat pada anak-anak, malah untuk pasangan juga.
Meluangkan masa bersama mengajar ibu bapa cara mendidik anak-anak dengan efektif, sekaligus membenarkan mereka mempelajari kaedah didikan masing-masing yang kemudian boleh digunakan untuk menambah baik skil mendidik.
Skil mendidik anak-anak bukanlah sesuatu yang datang dari naluri. Ia merupakan skil yang perlu dipelajari demi menjadi cemerlang dalam mendidik anak-anak.
Berikan perhatian yang lebih pada cara didikan anak-anak anda kerana kelak, mereka mungkin akan mencontohi kaedah didikan anda.
3. Masalah tingkah laku akan berkurangan apabila kerap meluangkan masa bersama keluarga.
Jika anda perasan, remaja yang menunjukkan masalah disiplin dan tingkah laku kebiasaannya tidak mempunyai hubungan yang erat dengan keluarganya.
Perkara tersebut berlaku kerana halangan komunikasi antara keluarga menyebabkan remaja tiada tempat meluahkan perasaan, justeru menyimpannya sendiri.
Situasi ini jarang diperlihatkan dalam remaja yang mempunyai hubungan baik dengan keluarganya. Ini membuktikan bahawa meluangkan masa bersama keluarga banyak membantu mencegah masalah tingkah laku.
Ibu bapa juga hendaklah belajar cara mendengar dan menasihati anak tanpa menghakimi mereka dengan terlalu tegas.
4. Kecenderungan anak terlibat dalam pengambilan bahan terlarang (dadah, alkohol dan sebagainya) akan berkurang
Berkait rapat dengan point sebelum ni, meluangkan masa dengan keluarga akan mengurangkan kecenderungan anak dalam pengambilan bahan terlarang kerana mereka tiada halangan komunikasi antara keluarga.
Hal ini kerana kebanyakan remaja yang mengambil bahan terlarang melakukannya kerana menganggap perkara itu sebagai jalan alternatif untuk menghilangkan masalah dan rasa kecewa mereka walaupun hanya sementara.
Apabila ibu bapa meluangkan masa dan menjaga hubungan bersama anak-anak, mereka akan sedar yang mereka mempunyai sokongan daripada keluarga, sekali gus menjauhkan mereka daripada mencari kaedah alternatif yang menjurus ke arah dadah dan alkohol.
5. Individu menjadi lebih ceria apabila meluangkan masa bersama keluarga.
Jika diperhatikan, mereka yang meluangkan masa dan mempunyai hubungan baik dengan keluarga kelihatan lebih ceria.
Keluarga merupakan orang yang paling banyak meluangkan masa bersama. Mereka wujud dalam hidup sejak lahir hingga ke dewasa. Maka, hubungan antara keluarga akan mempengaruhi pembesaran emosi anak-anak yang akan diterapkan dalam diri, lalu dibawa ke alam dewasa.
6. Kemahiran menyelesaikan konfilik keluarga meningkat
Setiap individu mempunyai personaliti dan tabiat yang berbeza. Sebagai keluarga yang tinggal bersama hampir setiap hari, pasti akan ada salah faham dan konflik yang timbul akibat daripada kelainan personaliti dan tabiat. Ini adalah perkara biasa dalam hidup berkeluarga.
Walaupun begitu, skil menyelesaikan konflik boleh dipelajari dan dimahiri memandangkan ianya penting demi mengekalkan hubungan baik antara satu sama lain.
Untuk menyelesaikan konflik dan pergaduhan antara keluarga, anda perlulah mempunyai skil komunikasi dan empati yang tinggi. Meluangkan masa bersama keluarga pasti akan meningkatkan skil berkenaan.
Kesimpulan
Sudah jelas 6 faedah mengeratkan hubungan kekeluargaan diterangkan dalam artikel ini. Sebagai ibu bapa atau anak, kita mestilah menerapkan kepentingan hubungan kekeluargaan dalam diri kita.
Luangkan masa bersama keluarga. Ianya baik untuk pasangan dan anak-anak serta ibu bapa anda.